Penanaman Kacang botor

Buah kacang botor di pokok.

Pokok kacang botor merupakan sejenis pokok menjalar yang tumbuh dengan cara memanjat atau melilit. Setinggi 3-4 meter, pokok ini adalah lebih tinggi dan besar, berbanding pokok kekacang biasa yang lain. Ia ialah tumbuhan herba saka dengan tempoh pengeluaran optimum di antara tiga hingga empat tahun, tetapi juga boleh ditanam sebagai pokok semusim mengikut kegunaan penanamannya.[3]

Pokok kacang botor merupakan salah satu pokok mengikat nitrogen yang terbaik, dengan penodulan dilaksanakan oleh Rhizobium, sejenis bakteria tanah. Disebabkan keupayaannya untuk mengikat gas nitrogen dari atmosfera, pokok ini tidak memerlukan banyak baja nitrogen tetapi masih memerlukan baja lain seperti fosforus dan kalium.

Sebagai pokok tropika, ia amat peka akan fros. Pokok ini tidak akan berbunga jika panjang siang melebihi 12 jam. Biji benihnya mempunyai kulit yang keras, dan untuk membantu percambahan, biji benih boleh direndam sebelum menanam. Pokok ini bertumbuh dengan cepat, dan mencapai panjang sebanyak empat meter dalam hanya tempoh beberapa minggu sahaja.

Ia ditanam secara biji dan akan bercambah antara 5-7 hari selepas disemai, bergantung kepada varieti. Lebih kurang dua bulan setengah selepas disemai, ia akan mula berbunga, tetapi ada jenis baka yang berbunga selepas lima bulan ia ditanam. Buah kacang botor mencapai panjang maksimum dalam masa 20 hari selepas berbunga dan masih lembut ketika itu, serta sesuai dijadikan sayur. Ia matang dalam masa 65 hari selepas berbunga.